Penerbitan Papa I Love You

Papa, I Love You merupakan arahan kedua Hashim Rejab selepas filem Sekali Lagi dan diterbitkan oleh David Teo menerusi Metrowealth Pictures.[2] Krew filem ini termasuk Fauziah Muhammad dan Fairoz Admi sebagai Penolong Pengarah, Mohd Shahreel Abu Bakar sebagai Pengarah Fotografi, Hanizar Ithnin sebagai Pengarah Seni, Mokd Ikhram Izzazuddin Zainuddin sebagai penerbit di belakang tabir, Mohd Suhairi Mat Johor sebagai jurugambar still, Azahari Abdul Hamid sebagai Koordinator Produksi, Veronica Khoo sebagai koordinator, Norsyariman Zainal Abidin sebagai penolong koordinator, Zainal Md Nayan sebagai grip. Solekan disediakan oleh Azman Shafie.[2]

Menurut Hashim, beliau sengaja mengetengahkan watak comel yang dibawakan oleh Zalif ke dalam filem yang turut dibintangi oleh Lisa Surihani dan Mia Sara Nasuha supaya filem tersebut nampak berbeza dan menarik dari kebiasaannya.[2] Papa, I Love You menjalani penggambaran di sekitar Kuala Lumpur pada Mac 2011.[2]

Zalif Sidek, salah seorang pelakon filem ini, berkata setelah melihat keseluruhan filem berkenaan, beliau berpuas hati dengan lakonannya kerana berasakan telah memberikan yang terbaik.[3] Beliau berkata:

"Papa I Love You merupakan filem pertama saya membawa watak utama. Sewaktu David (Teo) menawarkan filem ini kepada saya, saya memang rasa terkejut dan berasakan ia adalah satu peluang yang tidak mungkin saya sia-siakan. Pada masa sama, tipulah kalau saya tidak bimbang akan risikonya. Namun, saya percaya kejayaan atau kegagalan sesebuah filem bukan pelakon sebagai penyebab semata-mata tetapi merangkumi pelbagai aspek. Malah, saya juga mendapat maklum balas dari laman sosial Facebook dan Twitter mengenai lakonan saya dan rata-rata berpuas hati selepas melihat filem berkenaan,"[3]

Lisa Surihani pula mengakui karya ini amat dekat dengan dirinya kerana ia menampilkan hubungan baik antara bapa dan anak perempuan sebagaimana keakraban dirinya dengan arwah bapanya, Mohamed Mahbob yang meninggal pada 2008[3] sambil berkata tidak mempunyai sebarang masalah bergandingan dengan Zalif kerana percaya keserasian itu perlu diwujudkan sebagaimana keserasian yang diwujudkan bersama pasangan layarnya sebelum ini, Farid Kamil dan Shaheizy Sam.[3]